Mekah Al Mukarramah - Meniti Jejak Seorang Kekasih
Disebalik hitam dan putih warna yang mewarnai Kota Mekah, perjalanan umrah kami dirungkaikan dengan selakan sejarah penuh pedoman di persekitaran Masjidil Al Haram ...
Kota yang menjanjikan kedamaian, ketabahan, kekuatan hati juga sebuah gedung ilmu pengetahuan |
Kata Kiai terdapat lapan tempat bersejarah di persekitaran Masjidil Al Haram, namun setelah selesai perjalanan ini, yang aku kira adalah sepuluh semuanya ... Maka sebaiknya disampaikan sahaja disini kesepuluh tempat bersejarah itu ...
1. Maulidun Nabi – Rumah kelahiran Nabi Muhammad SAW
Rasulullah SAW dilahirkan di Kota Mekah pada Isnin, 12 Rabiul Awal bersamaan 20hb Ogos 570M, tahun gajah, dirumah datuknya Abu Mutalib, dirumah yang hanya berukuran 10 meter x 18 meter |
Ayahnya Abdullah Bin Abu Mutalib dan ibunya Aminah Binti Wahab. Baginda Rasul adalah kira-kira dalam 40 keturunan Nabi Ismail as.
Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, rumah ini didiami oleh Aqil bin Abi Talib dan keturunannya. Kemudian dibeli dan dijadikan masjid oleh Al Khaizuran, ibu Khalifah Harun Al Rashid dan dijadikan pula khutubkhanah (perpustakaan) oleh Sheikh Abbas Qattham pada 1370H/1950M.
Terletak di arah timur Masjidil Haram, di kawasan yang dikenali sebagai Suq-Al Lail atau Syib Ali. Kini, didepan rumah ini tertulis ‘Maktabah Makkal Al Mukarramah’. Di dalamnya terdapat buku-buku ilmiah dan kitab-kitab agama Islam.
Kerajaan Arab Saudi membiarkan rumah ini usang dan menjadi perpustakaan yang selalu terkunci. Ini adalah kerana mengikut penjaga rumah ini jika dibina rapi, ia akan menjadi tempat syirik kerana dindingnya, tiangnya dan apa saja yang ada didalamnya dijadikan tempat berdoa dan kebanyakan buku-buku simpanannya telahpun rosak.
Sedih melihat betapa rumah ini dijadikan tempat memohon hajat – tertulis perkataan-perkataan di dinding-dinding dan di pintu masuk rumah. Rumah ini juga kini dijadikan pusat pengeluaran air zam zam.
2. Tapak rumah Rasulullah SAW & Sayyidah Khadijah ra
Yang tinggal - hanyalah tapak ... |
Kita sedia maklum, Baginda Rasul berumahtangga dengan Sayyidah Khadijah Binti Khuwaylid ketika berusia 25 tahun dan Sayyidah berusia 40 tahun. Ketika itu Baginda Rasul bekerja dengan rombongan dagangan yang dimilikki Sayyidah Khadijah hingga ke Syam (Syria).
Di tapak inilah lahirnya putera puteri Baginda Rasul seramai tujuh orang. Tiga lelaki (Qasim, Abdullah dan Ibrahim) yang meninggal dunia di ketika usia muda dan 4 perempuan (Ruqqayah, Zainab, Ummu Kalsum dan puteri kesayangan Fatimah az-Zahra).
Sayyidah Khadijah adalah satu-satunya isteri Baginda Rasul selama hidupnya melayari bahtera rumahtangga sehingga Sayyidah meninggal dunia. Ini telah menyebabkan Rasulullah SAW merasa amat sedih atas kehilangan seorang teman di saat suka dan duka …
Kini rumah Rasulullah SAW dan Sayyidah Khadijah tiada lagi dan hanya tapak ini yang kini dijadikan tempat umat Islam mengerjakan solat di perkarangan Masjidil Haram.
3. Lorong yang selalu dilalui Rasulullah SAW
Lorong ini adalah lorong yang dilalui Rasulullah SAW untuk sampai ke rumahnya. |
Namun kini, lorong ini sudah diperkemaskan untuk kemudahan pejalan kaki menuju ke Baitullah. Di bahagian kiri dan kanan lorong ini terdapat tempat mengambil wuduk.
Suatu ketika dahulu, setiap kali melalui lorong inilah Rasulullah SAW diludah oleh seorang wanita tua dari atas rumahnya sehingga Baginda Rasul terpaksa menggunakan kain untuk melindunginya.
Namun pada suatu hari, ketika melalui lorong ini, wanita itu tidak kelihatan lalu Baginda Rasul bertanya kemanakah perginya wanita tersebut. Apabila dikhabarkan beliau sakit, Baginda Rasul terus menziarahi dan mengubatinya sehinggalah wanita tersebut merasa amat malu dan kesal akan perbuatannya sebelum ini. Baginda Rasul adalah lah satu-satunya orang yang menziarahnya. Sarat dengan sifat penyabar dan pemaaf yang penuh keikhlasan - adakah kita mewarisi sifat terpuji Rasulullah SAW ini?
4. Bekas Tapak Darul Al Arqam
Rasulullah SAW menggunakan rumah Arqam Bin Abi Al-Arqam sebagai tempat pertemuan dan pengajaran Islam secara rahsia selama tiga tahun. Disinilah Rasulullah SAW membimbing kaum Muslimin untuk menghafal dan menghayati ayat-ayat Al Quran untuk kekuatan iman.
Di pusat pendidikan Islam yang pertama inilah bapa saudara Rasulullah SAW Saidina Hamzah Abu Mutalib ra dan Saidina Umar Al Khatab yang garang dan gagah memeluk Islam. Hanya selepas pengislaman Saidina Umar Al Khattab, dakwah Islam keluar dari Darul Al Arqam dan di sebarkan secara terang-terangan.
5. Tapak perkampungan Bani Hashim dan Bani Mutalib
Inilah tapak dimana Rasulullah SAW dan pengikutnya dipulaukan selama tiga tahun oleh kaum Quraisy, diketuai oleh Abu Lahab, yang ingin menyekat penyebaran Islam |
Notis pengumuman memulau Bani Hashim dan Bani Mutalib ini ditulis oleh Manshur bin Akramah dan digantung di pintu Ka’abah.
Apabila bapa saudara Rasulullah SAW, Abu Talib melihat anak saudaranya dipulaukan lalu dia pun mengumpul suku kaum Mutalib, suku kaum Abdul Manaf dan suku kaum Hashim dan bertanya adakah mereka sanggup melihat Rasulullah SAW dipulaukan dan mereka terus tidak setuju.
Lalu Abu Talib berkata kepada anak saudaranya, “Janganlah kamu risau, wahai Muhammad, kalau mereka menyisih dan memulau kamu, kami akan tetap bersama-sama dengan kamu dan membantu kamu”.
Dan apabila kaum Quraisy mengetahui hal ini, mereka pun memulaukan kesemua kaum keluarga dan sesiapa saja yang beriman dengan Rasulullah SAW dan Islam dengan mengenakan perkara-perkara seperti tiada sebarang urusan jual beli, tidak boleh menjamu makan kepada mereka, tiada ikatan perkahwinan dan tidak dibenarkan membeli makanan dan mendapatkan apa jua bentuk bantuan dari luar Mekah.
Akhirnya habislah bekalan dan mereka hanya memakan sebiji kurma sehari. Hanya setengah biji terpaksa dibahagi-bahagi dan juga menjadikan rumput-rumput kering sebagai makanan. Sehinggalah kulit unta dicuci bersih, dibakar, diracik-racik menjadi potongan kecil dan direndam dalam air dan dijadikan bekalan makan hingga tiga hari.
Namun begitu, terdapat juga kaum Quraisy yang bersimpati seperti anak saudara Siti Khadijah, Hakim Bin Hizam dan rakan-rakannya yang sentiasa berusaha menyeludup masuk bekalan dengan mengikat bekalan makanan seperti gandum dan buah kurma diatas beberapa ekor unta dan dilepaskan ke arah perkampungan ini dengan harapan akan sampai ke tangan pengikut-pengikut Rasulullah SAW. Ada juga yang dirampas oleh pihak Abu Lahab dan tercetuslah pula pergaduhan antara kaum Quraisy.
Sepanjang tiga tahun, pengikut-pengikut hanya keluar dari perkampungan ini di bulan-bulan haram untuk mengerjakan haji dan tawaf di Ka’abah. Ketika itulah Rasulullah SAW keluar menyeru agama Islam dengan sentiasa diekori oleh Abu Lahab yang cuba menyekatnya.
Pemulauan ini berakhir dengan sendirinya apabila notis pengumuman reput dimakan anai-anai dan juga tentangan dari kaum Quraisy sendiri yang diketuai oleh Hisham Bin Amru yang dihatinya masih ada bibit-bibit simpati.
6. Tapak Jabal Abi Qubis
Ini adalah tapak yang dulunya dikenali sebagai Jabal Al Amin (Bukit Kepercayaan), terletak dimuka pintu Babusalam Masjidil Haram. |
Kini hilang berganti bangunan Istana Raja Saudi yang tinggi dan megah untuk memudahkan para pemimpin dan tetamu Negara beribadah di Masjidil Haram.
Jabal Abi Qubis inilah jabal pertama dijadikan oleh Allah SWT diatas muka bumi ini dan sekiranya ianya tidak diruntuhkan, pasti kita akan masih dapat berada dipuncaknya.
Tapak-tapak seperti rumah Rasulullah SAW dan Jabal Abi Qubis ini diruntuhkan kerana menurut Kerajaan Arab Saudi ini untuk menampung keselesaan 120,000 jemaah mengerjakan solat.
Banyak peristiwa terjadi di atas Jabal Abi Qubis ini. Antaranya, Allah SWT telah menyelamatkan batu Hajarul Aswad ke atas bukit ini ketika ribut petir yang dahsyat di zaman Nabi Noh a.s.
Di Jabal Abi Qubis ini jugalah Nabi Muhammad SAW memperlihatkan mukjizat dari Allah SWT kepada kaum Musyrikin Mekah dengan membelah bulan menjadi dua bahagian, satu diatas Jabal Abi Qubis dan satu lagi di Jabal Qiiza.
Diatas Jabal Abi Qubis inilah Nabi Ibrahim a.s berdoa,
“Wahai manusia! Bahawasanya Allah telah memerintahkan kamu untuk menunaikan Haji ke Baitullah ini, untuk diganjari kamu dengan haji tersebut akan syurga dan diselamatkan kamu daripada azab neraka, maka berhajilah kamu”
Dan berkesempatan disini juga aku memohon, “Ya Allah, Ya Tuhanku, seperti mana telah Engkau mudahkan bagi aku sampai ke sini, maka mudahkanlah pula bagi ahli keluarga dan sahabat-sahabatku datang ke tempat yang penuh berkat ini dan ke Masjid Nabawi untuk mengucapkan Selawat dan Salam keatas Rasulallah SAW. Amin”.
7. Masjid Rayah (Masjid Bendera)
Pada tahun ke 8 Hijrah, ketika Rasulullah SAW kembali untuk membebaskan Kota Mekah dari genggaman kaum Quraisy bersama-sama 10,000 pejuang Islam, Rasulullah SAW dan para sahabatnya memilih untuk berhenti seketika disini. Apabila Abu Suffiyan yang merasa musykil melihat api di luar Masjidil Haram beliau terus menghampiri masjid ini dan ditangkap. Akhirnya Abu Suffiyan juga memeluk Islam.
Kemudian, Rasulullah SAW memasukki Kota Mekah dengan penuh tawaddu' dan tanpa pertumpahan darah. 360 patung-patung dihapuskan. Sejurus selepas itu, Kota Mekah menjadi terlalu hening dan ketika itulah kedengaran Azan dilaungkan buat pertama kalinya …
Dan di masjid inilah dipacakkan bendera kemenangan yang kini dikenali sebagai Masjid Rayah.
8. Masjid Syajarah (Masjid Pohon)
Disinilah terdapat pohon dimana Rasulullah SAW memanggilnya lalu pohon tersebut tercabut dari bumi dan bergerak ke hadapan Rasulullah SAW. Pohon itu kembali ke tempat asalnya apabila disuruh kembali.
Inilah salah satu mukjizat Rasulullah SAW yang ketika itu berada di Masjid Jin dimana para jin meminta bukti tentang kenabian dan apabila menyaksikan peristiwa ini akhirnya mereka pun memeluk Islam.
9. Masjid Al Haras (Masjid Jin)
Di masjid inilah Rasulullah SAW menulis sepucuk surat kepada Ibnu Mas’ud. Ketika itu Rasulullah SAW sedang menerima serombongan jin yang ingin memeluk Islam. Setelah memeluk Islam para jin ini meminta Rasulullah SAW memperdengarkan Al Quran kepada mereka.
10. Al Maqbaratul Ma'ala (Perkuburan Ma’ala)
Ini adalah sebahagian dari jalan masuk ke perkarangan Ma'ala |
Disinilah para syuhadah Islam dikebumikan termasuklah isteri kesayangan Rasulullah SAW, Sayyidah Khadijah Binti Khuwaylid dan datuknya Abdul Mutalib.
“Kesejahteraan ke atas wahai tempat tinggal orang-orang yang beriman, sesungguhnya kami akan mengikuti kamu, kamu telah mendahului kami dan kami akan mengikutimu.
Mudah-mudahan Allah akan mengampunkan kami dan kamu dan mengasihi mereka yang terdahulu dan mereka yang terkemudian.
Ya Allah, janganlah Engkau kecewakan kami daripada mendapat pahala amalan mereka dan janganlah Engkau fitnahkan kami selepas mereka. Ampunilah dosa kami dan dosa mereka serta ampunilah dosa-dosa ahli Ma’ala … Amin”.____________________________
Seterusnya inilah sejarah terpenting yang terpahat rapi di luar persekitaran Masjidil Al Haram, masih di Mekah Al Mukarramah ...
Jabal Nur (Bukit Cahaya)
Setiap dari kita pasti telah mengabdikan sejarah bahawa wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah ketika dia sedang mengasingkan diri di jabal ini. Jabal ini telah menjadi saksi lima ayat pertama dari Surah Al Alaq diturunkan oleh Jibrail kepada Rasulullah SAW.
Peristiwa ini terjadi pada malam 17 Ramadan (6 Ogos 610) ketika Rasulullah SAW berusia 40 tahun. Bagi Rasulullah SAW pengalaman menerima wahyu adalah pengalaman yang sangat berat, tidak tertanggung dengan pancaindera biasa dan membuatkan Baginda Rasul bermandikan peluh walaupun dalam udara amat dingin. Setiap kali menerima wahyu, Rasulullah SAW akan menghafalnya dengan diawasi oleh Jibrail.
Hari terakhir turunnya Al Quran ialah hari Jumaat, 9 Zulhijjah, ketika Rasulullah SAW wukuf di Padang Arafah. Beberapa bulan selepas ayat terakhir diturunkan, Rasulullah SAW wafat pada 8 Jun 632.
Jabal Rahmah (Bukit Rahmah)
Kisah yang juga kita telah sedia maklum. Tempat pertemuan Nabi Adam a.s dan Hawa setelah terpisah selama 400 tahun. Dipertemukan kembali setelah diturunkan ke bumi setelah memakan buah larangan di syurga atas pujuk rayu yang berulang-ulang oleh iblis.
Hati mereka tenteram kembali setelah segala taubat diterima dan Allah SWT berfirman,
“Turunlah kamu ke bumi sebahagian daripada kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kamu dapat tinggal tetap dan hidup disana sampai waktu yang telah ditentukan”.
Adam, (bermaksud tanah) manusia diciptakan dari segumpal tanah liat, kering dan lumpur hitam, berbentuk sempurna dan ditiupkan roh.
Hawa diciptakan dari salah satu tulang rusuk kiri Nabi Adam a.s yang dikeluarkan oleh Jibrail ketika Nabi Adam a.s sedang nyenyak tidur. Kejadian ini terjadi ketika Nabi Adam a.s berusia 130 tahun. Nabi Adam a.s hidup selama 930 tahun.
Anak-anak Nabi Adam a.s dan Hawa dilahirkan secara berkembar sepasang seramai 40 orang dan dinikahkan dengan dengan pasangan yang tidak sekembar. Adam dan Hawa – itulah orang tua dari semua manusia yang hidup didunia ini ...
Jabal Tsur (Bukit Tsur)
"Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya iaitu ketika orang-orang kafir mengusirnya berdua dengan sahabatnya. Ketika didalam gua, dia berkata kepada sahabatnya, 'Janganlah berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita'. Maka Allah menurunkan ketenangan pada Muhammad dan membantunya dengan tentera yang tidak dapat melihatnya dan Allah menjadikan semua orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana" - Surah At Taubah Ayat 40 -
Selama menyembunyikan diri di gua bukit ini, bekalan dihantar oleh anak Saidina Abu Bakar sendiri iaitu Asma. Selepas itu Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar r.a meneruskan perjalanan ke Yahtrib dan kemudian disertai oleh dua orang lagi sahabat iaitu Amir bin Fuhairah dan Abdullah bin Uraiqith. Mereka berjalan merentasi gunung-ganang, padang pasir, merempuh ribut pasir demi meneruskan usaha menyebarkan Islam kepada penduduk Yathrib (Madinah).
Betapa beratnya hati Rasulullah SAW meninggalkan Mekah, tanah kelahirannya untuk berhijrah ke Madinah. Dalam perjalanan sehingga tiba di satu bukit, Rasulullah SAW berhenti sambil memerhatikan Mekah dan dengan linangan airmata meluahkan,
“Demi Allah, aku tidak akan meninggalkanmu (Mekah) kerana sesungguhnya aku tahu bahawa engkau merupakan bumi Allah yang paling aku cintai dan yang paling mulia disisiNya. Seandainya kaumku tidak mengusirku, maka aku tidak akan keluar”.
Ungkapan itu telah membuatkan seluruh penghuni alam menangis dan bukit tempat Rasulullah SAW berdiri bersama sahabat-sahabatnya turut menangis ... Subhanallah … betapa makhluk seperti bukit pun terlalu sayangkan Rasulullah … Dan aku? Apakah cintaku cukup sekadar mengatakan aku rindu padanya?
Di Kota Mekah Al Mukarramah ini aku tersedar dan kesedaran ini telah mengajar aku menjadi seorang yang amat bersyukur di atas segala yang diberi Allah SWT. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku. Aku redha …
"Ya Allah, janganlah jadikan masaku ini masa terakhir bagiku dengan rumahMu. Jika sekiranya Engkau jadikan masa ini terakhir bagiku, maka gantikanlah syurga untukku dengan rahmatMu Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lebih daripada segenap yang pengasih. Terimalah doa kami, wahai Tuhan sekalian alam. Amin"
Comments
Post a Comment