Mekah Al Mukarramah – Atas Undangan Penuh Debaran
Wahai Mekah … telah berjuta umat Islam mengunjungimu, telah berjuta kisah akanmu, telah juga berjuta iktibar darimu … namun inilah kisahku tersendiri dan ku ulang kembali dalam suara yang bisu - rindu kah itu …
Perjalanan umrah kami yang pertamaadalah 639 hari yang lalu. Belum sedetik rindu ku pudar, belum sesaat jiwaku hilang, belum sewaktu hatiku lupa dari mengenang keindahan dan ketenangan di ketika diri menerima undangan yang penuh debaran ini …
Pertama kali kaki ini menjejak Tanah Haram adalah pada waktu yang menjanjikan kedinginan dan kedamaian – waktu malam. Dan pertama kali mata ini menatap Baitullah adalah waktu yang menjanjikan – kesyukuran dalam kekerdilan diri.
Tiada panggilan yang lebih menggetarkan hatiku dan meruntunkan perasaanku selain dari panggilanMu Yang Maha Esa.
“Ya Allah, Mekah adalah negeriMu, Baitullah adalah rumahMu. Aku datang ke sini untuk mencari rahmatMu, mentaatiMu, mengikut perintahMu kerana redha terhadap ketentuanMu dan menunaikan perintahMu. Aku meminta kepadaMu sebagai permintaan seorang yang berhajat kepadaMu dan takut pada azabMu, dengan itu Engkau terimalah ibadatku, ampunilah dosaku dengan rahmatMu dan masukkanlah aku kedalam syurgaMu”
“Ya Allah, Engkau yang bersifat sejahtera dan daripadaMu datangnya kesejahteraan, maka hidupkanlah kami wahai Tuhan kami dengan kesejahteraan dan masukkanlah kami ke dalam syurga Dar al-Salam.
Ya Allah, tambahkanlah rumahMu ini dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan, anugerah, ketinggian darjat dan kebaikan. Dan tambahkanlah orang-orang yang mengerjakan haji dan umrah dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan, anugerah, ketinggian darjat dan kebaikan kerana mereka memuliakan dan mengagungkannya"
Inilah ‘Baitullah’ (bermaksud Rumah Allah), sejarah tidak ternilai bagi setiap umat Islam dimana ia dibangunkan buat pertama kalinya oleh para Malaikat, atas perintah Allah SWT. Baitullah ini dibina ditempat 'buih' dimana bumi ini mula dijadikan.
Inilah rumah pertama yang didalamnya manusia pertama turun ke bumi, Nabi Adam a.s menyembah Allah Azza Wa Jalla. "Sesungguhnya Nabi Adam melakukan tawaf (atau tafa’ bermaksud keliling) disekelilingnya seperti para malaikat yang tawaf di sekitar Arash Allah SWT”.
Namun setelah kewafatan Nabi Adam a.s, berlalulah abad demi abad sehinggalah rumah ini hilang dan tersembunyi....
Di perkarangan pintu utama Masjidil Al Haram - Pintu King Abdul Aziz I (Sesudah Solat Isha') |
Kisah bermula kembali apabila Nabi Ibrahim a.s meninggalkan Nabi Ismail a.s dan ibunya, Saidatina Siti Hajar di lembah yang kontang ini berbekalkan sebungkus kurma dan sebekas air. Maka, terjadilah kisah Saidatina berlari-lari antara Safa dan Marwa, juga hentakkan kaki Nabi Ismail a.s dan mencetuskan Telaga Zam Zam.
Sepanjang peninggalan yang mempunyai hikmah yang amat bermakna itu, hanya pada kali ketiga-lah Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim a.s membina Ka'abah ditempat asalnya, diatas bukit kecil yang batunya kemerahan berhampiran Telaga Zam Zam.
Nabi Ismail a.s yang telah meningkat dewasa ketika itu, adalah satu-satunya manusia yang bergandingan dengan ayahnya membina rumah suci ini, dibantu oleh Jibrail. Nabi Ibrahim a.s menggali tanah asas binaan hingga sampai ke tapak asal peninggalan Nabi Adam a.s. dengan hanya menggunakan tulang empat keratnya.
Batu-batu yang digunakan untuk mendirikan Baitullah ini didatangkan dari Bukit Abi Qubis, Bukit Tursina, Bukit Al Qudua, Bukit Warifan (terletak antara Mekah & Madinah), Bukit Ridwan (antara Madinah & Yanbu') dan Bukit Uhud.
Rumah suci ini telah dibina sesungguhnya dari ketenteraman hati Nabi Adam a.s, kedamaian hati Nabi Ibrahim a.s bersulamkan perasaan cinta, ketulusan dan kesabaran Nabi Ismail a.s. Justeru itu, ketika aku menjejakkan kaki memasukki Masjidil al-Haram ini, yang dirasai hanyalah satu gelombang kedamaian yang amat sangat dan bagiku inilah hikmah dan kasih sayang yang diresapkan oleh Nabi Adam a.s, Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s hasil dari pembinaan Baitullah ini.
Dan apabila siap terbina Ka’abah ini, Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s terus berdoa,
“Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan jadikanlah di antara cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau. Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau dan mengajarkan mereka akan Al Kitab (Al Quran) dan Al Hikmah (as Sunnah) serta menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana” – Surah Al Baqarah Ayat 128 -
Selepas itu Baitullah ini dibaiki dan dicantikkan dengan mengalami 12 peringkat binaan sehinggalah yang terakhir oleh Sultan Murad Khan (1040H/1630M).
Apabila selesai pembinaan ‘Ka’abah’ (bermaksud 'empat segi'), Nabi Ibrahim a.s inginkan batu yang istimewa dijadikan tanda khusus untuk permulaan tawaf di sekitar Ka’abah. Datanglah Jibrail membawa sebiji batu yang teramat putih berkilauan dan diserahkan kepada Nabi Ibrahim a.s. Jibrail kemudian meletakkannya di bahagian barat Ka’abah, kini disebut penjuru ‘Hajarul Aswad’ (bermaksud ‘batu hitam’). Lantas Nabi Ibrahim a.s berdiri dan berdoa agar Allah SWT menjadikan hati manusia cenderung pada tempat ini dan dialah orang pertama menamakan kita sebagai orang-orang Muslim. Firman Allah SWT,
“Dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. Ikutilah agama orang tuamu, Ibrahim. Dia telah menamai kamu sekalian orang–orang Muslim dan dahulu” - Surah Al Hajj Ayat 78
Rasulallah SAW pernah bersabda,
“Hajarul Aswad diturunkan dari syurga dan berwarna putih dari susu. Namun kini, dosa-dosa anak-anak Adam telah menyebabkannya menjadi hitam”
Berhampiran Ka’abah terdapat tembok yang melengkung separuh bulatan dipanggil ‘Hijir Ismail’. Asalnya ini adalah tempat berteduh dan kandang kambing peliharaan Nabi Ismail a.s sepanjang pembinaan Ka'abah. Tetapi selepas pembinaan semula Arab Quraisy, tempat ini dikecilkan menjadi enam hasta satu jengkal sahaja.
Dalam pembinaan Ka’abah ini, Nabi Ibrahim a.s menyusun naik batu-batu dan Nabi Ismail a.s pula mengutip batu besar. Apabila binaan sudah tinggi, Nabi Ismail a.s menghulurkan batu besar untuk meninggikan ayahnya dan dengan kehendak Allah SWT, sebaik Nabi Ibrahim a.s meletakkan kakinya di atas batu tersebut maka terlekatlah tapak kakinya dan kini dikenali sebagai ‘Maqam Ibrahim’. Namun ia bukanlah maqam sebenar Nabi Ibrahim a.s. Hari ini, ia merupakan batu yang ditutup dengan kaca yang berbentuk tirus.
Ka’abah, hanyalah setinggi 13.1 meter dan lebarnya 11.03 meter x 12.8 meter. Asalnya rumah suci yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s mempunyai dua pintu iaitu Pintu Timur dan Pintu Barat yang dibina rapat ke tanah. Tetapi kini Ka’abah mempunyai satu pintu sahaja iaitu di arah timur laut yang tingginya dua meter dari lantai, diperbuat daripada emas tulen seberat 280gram (bernilai 13 juta Riyal) dan hanya boleh dicapai menggunakan tangga beroda yang disimpan rapi.
Ketika dibina, Ka’abah tidak mempunyai bumbung. Namun puak Quraish telah membina atap demi menjaga bahagian dalamannya. Hari ini, Ka’abah mempunyai dua lapisan bumbung yang diperbuat daripada marmar putih dan dikelilingi tembok kecil yang mencantumkan dinding Ka’abah. Dan, tembok inilah yang menjadi cangkuk kepada tali-tali kiswah di bahagian atas Ka’abah. Manakala tali di bahagian bawah diikatkan ke syazarwan.
‘Syazarwan’ adalah tembok di bahagian bawah dinding Ka’abah setinggi tiga meter dari lantai dan selebar 45 sm yang terdapat cangkuk-cangkuk mengikat tali kiswah. Bertambah menarik lagi, di bahagian bumbung juga terdapat sebuah pintu berukuran 1.27 meter x 1.04 meter yang ditutupi dengan pintu yang diperbuat daripada besi baja.
‘Kiswah’ pula adalah kain yang digunakan untuk menutupi bangunan Ka’abah. Kiswah juga mempunyai sejarah tersendiri dimana ia pernah mengalami kebakaran berkali-kali.
Aku bersyukur berpeluang berdoa di Hijir Ismail dengan penuh kelapangan dan ketika berkesempatan mengusap dan menatap kiswah yang telah ditampal dan dijahit, tidak tertahan sebak didada atas kesedaran yang amat mendalam menyentuh hati bahawa bumi ini sudah terlalu tua ... terlalu tua ... :(' ... Namun keharuman kiswah tetap amat mengasyikkan ...
Sesudah mengerjakan tawaf, kami meneruskan ibadah umrah kami dengan mengerjakan ‘Sa’ie’ (bermaksud berlari-lari anak). Allah SWT berfirman,
“Sesungguhnya Bukit Al Safa and Al Marwa itu adalah syiar-syiar Allah. Oleh itu, sesiapa yang mengerjakan Haji atau Umrah, maka tiada apa-apa kesalahan baginya untuk berkeliling pada keduanya dan sesiapa yang mengerjakan dengan sukarela amalan yang baik, maka sesungguhnya Allah amat berterima kasih dan Maha Mengetahui” - Surah Al Baqarah Ayat 158 -
Kisah terulung kota Mekah ini dipanjangkan lagi dengan kisah Telaga Zam Zam yang sebenarnya terletak disisi Baitullah. Apabila bekalan telah kehabisan, Nabi Ismail a.s mula menangis dan Saidatina Siti Hajar terus gelisah dan berlari-lari anak mencari air diantara bukit ‘Al Safa’ (bermaksd batu yang keras) dan bukit ‘Al Marwa’ (bermaksud batu yang lembut). Maka terjadilah sa’ie seperti yang kita kerjakan hari ini …
Air Zam Zam tidak pernah putus menghilangkan kehausan jutaan umat dari seluruh dunia. Air Zam Zam juga mempunyai 1001 zat yang tidak tertanding |
Dalam suasana kelam kabut, Nabi Ismail a.s telah menghentak-hentak kakinya diatas tanah dan dengan izin Allah swt, terpancut air dari tanah. Masih dalam keadaan kelam kabut Saidatina Siti Hajar cuba menakung air yang berhamburan keluar dan berteriak, “Zomk! Zomk!” (bermaksud berhenti mengalir). Maka hari ini, pusat pengeluaran air zam zam ini dikenali sebagai Telaga Zam Zam (bermaksud kepongan air). Telaga Zam Zam ini sedalam 30 meter sahaja dan kedalaman air hanyalah 3.32 meter. Namun begitu, terdapat beberapa punca air dibawah paras 13 meter.
Selesai bertawaf tujuh pusingan, bersa’ie tujuh pusingan, kami ber'Tahallul’ (bergunting atau bercukur) …
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.
Ya Allah, inilah hujung rambutku di tanganMu, maka jadikanlah tiap-tiap helai rambut itu cahaya bagiku pada hari kiamat dan ampunkanlah dosaku, wahai Tuhan Yang Amat Luas Pengampunan.
Segala puji-pujian tertentu bagi Allah yang telah menyempurnakan ibadah-ibadahku, kurniakanlah satu kebajikan dengan setiap sehelai rambutku. Hapuskanlah dengannya satu kejahatan, angkatkanlah darjatku dengannya, ampunilah aku serta orang yang bercukur, bergunting dan sekalian orang-orang Islam.
Ya Allah, Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku iman dan keyakinan, berilah taufik dan pertolongan kepadaku dan ampunilah kami serta ibu bapa kami dan keluarga kami. Selawat dan salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad, keluarga dan sahabat-sahabatnya sekalian. Amin"
Alhamdulillah ... maka selesailah ibadah umrah pertama kami …..
Masjid tertua. Masjid terindah. Terletak di Baitullah yang mulia, kiblat sekelian umat Islam |
Dimana satu solat bersamaan dengan 100,000 solat |
Perjalanan umrah kami diteruskan dengan menghayati sejarah terulung di persekitaran Masjidil Al Haram … Terima Kasih kepada Kiai KH. Ahmad Djamhuri (yang telah bermastautin di Mekah Al Mukarramah) yang membimbing dan menceritakan kisah-kisah sejarah sepanjang kami di kota suci ini dan di Madinah Al Munawarrah …
Comments
Post a Comment