Madinah Al Munawwarah – Antara Kisah Yang Dikasihi Mengasihi
Sabda Rasulullah SAW,
"Sesungguhnya Madinah bagaikan ubupan tukang besi yang dapat melenyapkan orang-orang yang buruk, sebagaimana tiupan tukang besi melenyapkan kotoran besi"
Inilah Madinah Al Munawarrah atau Madinat Al Nabi, kota dagangan, kota damai yang dianugerahkan berbagai keistimewaan |
Madinah adalah tempat yang diutamakan sebutannya didalam Kitab Suci Al Quran dan Allah SWT menjadikannya tanah haram (suci). Syaitan putus asa untuk disembah disini dan para malaikat menjaga kota ini sehingga ke hari kiamat.
Diharamkan melakukan pemburuan. Diharamkan memotong, mencabut pohon atau ranting mahupun mengutip barang-barang yang keciciran. Diharamkan bersengketa atau berperang didalamnya. Diharamkan mengungkapkan bid'ah kata-kata dusta dan syirik. Diharamkan semua jenis wabak penyakit kerana ia dipindahkan ke Juhfah.
Diharamkan Dajjal memasukki Madinah. Tanah Madinah sebagai penyembuh dan sesiapa sahaja yang bersabar atas segala dugaan dan cabaran akan mendapat syafaat. Terdapat juga berbagai larangan dan diantaranya larangan membunuh ular sebelum diberi peringatan tiga hari. Ini adalah kerana para jin di Madinah banyak yang beragama Islam dan mereka suka berubah bentuk menjadi binatang antaranya ular.
Aku juga yakin semua dari kita pasti telah mengetahui tempat-tempat bersejarah yang harus dilawati ketika berada di Madinah seperti:
Jabal Uhud bermaksud 'bukit yang satu'. Bukit ini adalah sekelompok bukit dan tertinggi yang terdapat di Madinah |
Bukit ini tidak bersambung dengan bukit-bukit yang lain (pada umumnya bukit-bukit di Madinah ini sambung menyambung). Jabal Uhud adalah salah satu dari bukit-bukit di syurga.
Pada 15 Syawal Tahun Tiga Hijrah, disinilah Perang Uhud tercetus kerana tuntutan bela puak Quraisy diatas kekalahan Perang Badar. Tentera Quraisy datang dari Mekah seramai 3000 orang dan tentera yang diketuai Rasulullah SAW dari Madinah hanyalah 700 orang setelah 300 orang belot dipertengahan jalan yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai (dari puak Khazraj).
Dalam serangan inilah Rasulullah SAW terjatuh ke dalam lubang yang digali oleh Abu Amr Ar-Rahab sehingga kedua belah lututnya dan pipinya tercedera, giginya patah, pitam dan terkurung didalamnya sehinggalah datangnya Fatimah dan Ali bin Abi Talib.
Sedih. Seramai 70 tentera Islam dan 23 tentera Quraisy terkorban. Antara kisah perang di zaman Rasulullah SAW yang menyayat hati adalah kisah dimana gugurnya 'Asadullah' (bermaksud ‘Singa Allah’) Saidina Hamzah, bapa saudara Baginda Rasul yang dibunuh dengan kejam oleh Wasyi atas arahan Hindun binti Utbah kerana membalas dendam atas kematian suaminya, Abu Suffian ditangan Saidina Hamzah. Diriwayatkan dada Saidina Hamzah dibelah dan hatinya dikunyah Hindun. Rasulluah SAW juga memberi gelaran 'Saiyidus Syuhada' kepada Saidina Hamzah yang membawa maksud 'Penghulu orang yang mati syahid'.
Rasulullah SAW memerintahkan kesemua mereka dikembumikan bersama pakaian mereka. Rasulullah SAW sembahyangkan seorang demi seorang tentera Islam yang gugur syahid. Hanya pada Saidina Hamzah, Rasulullah SAW sembahyangkan sebanyak 70 kali dan dikebumikan bersama Abdullah bin Jahsy.
Diriwayatkan juga, pada tahun 46 Hijrah, di zaman pemerintahan Bani Muawiyyah terjadi banjir besar di Uhud dan menyebabkan banyak tanah terhakis termasuk makam Saidina Hamzah dan Abdullah bin Jahsy sehingga jasad mereka terkeluar. Maha Suci Allah … jasad mereka masih segar seperti baru terkorban dan darah basah masih mengalir walaupun ketika itu selepas 43 tahun Perang Uhud berlaku.
Jasad-jasad mereka dipindahkan dan disemadikan di kawasan berpagar ini bersama para syuhadah yang lain |
"Salam Sejahtera keatas kamu wahai tempat tinggal orang-orang yang beriman, diberikan kepadamu apa yang dijanjikan, esok akan tiba hari yang dijanjikan. Sesungguhnya kami akan mengikuti kamu. Ya Allah, ampunilah penghuni perkuburan ini... Amin"
Terdapat banyak lagi tempat-tempat bersejarah di kota mulia ini … antaranya ...
Masjid Qiblatain bermaksud ‘Masjid Dua Kiblat’ – yang mempunyai dua kubah, dua menara dan disinilah terjadinya perpindahan kiblat dari Baitulmaqdis ke Baitullah. Sebelum ini dikenali sebagai Masjid Bani Salamah kerana didirikan diatas rumah Bani Salamah.
Masjid Sab’ah bermaksud ‘Masjid Tujuh’ – dimana parit digali untuk menghalang puak Quraisy dari menyerang Madinah. Ketika itu masjid ini tidak dibina lagi. Masjid ini dibina oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz di tempat Baginda Rasul solat dan berdoa untuk mengalahkan tentera Ahzab.
Masjid Jum’ah bermaksud ‘Masjid Solat Jummat’- dimana Rasulullah SAW mengerjakan solat Jummat dalam perjalanan ke Madinah Al Munawwarah dari Mekah Al Mukarramah.
Masjid Gamamah bermaksud ‘Masjid Awan’ – dimana Baginda Rasul mengerjakan solat Hari Raya dan beristiqa meminta hujan diturunkan.
Masjid Fath juga dikenali sebagai Masjid Hasir atau Ramad – dimana Rasulullah SAW dirawat lukanya selepas Perang Uhud dan bersolat Zohor. Sayang sekali, masjid ini sudah tidak dijaga rapi lagi.
Masjid Quba – masjid ini menjadi saksi kisah yang menyentuh hatiku dan juga mungkin seluruh umat Islam. Pertama, inilah masjid pertama yang didirikan oleh Rasulullah SAW. Kedua, disinilah kampung pertama dimasukki Baginda Rasul sebelum berhijrah ke Yathrib.
Yang terindah ... Allah SWT memilih kota ini untuk Rasulalluh SAW berhijrah dimana ia bermandikan cahaya di hari kedatangannya. Dihari ketibaan Rasulullah SAW ke Yathirb (nama sebelum Madinah) dari Quba, Baginda Rasul disambut dengan syair dan penuh sanjungan.
Ketika Rasulullah SAW mendengar syair dengan rebana yang meriah, Baginda Rasul lalu bertanya,
“Apakah kamu begitu cinta dan kasih kepadaku?”
Jawab mereka serentak, “Betul. Demi Allah kami cinta kepada engkau yang mulia wahai Rasulullah”
Lantas Nabi Muhammad SAW berkata lagi,
“Aku pun demi Allah amat mencintai kamu”
(dan diulanginya sebanyak tiga kali).
Sungguh indah menjadi umatmu, Wahai Rasulku ...
Diriwayatkan juga Rasulullah SAW sering menangis di waktu malam sambil berkali-kali berdoa dalam Solat Tahajjudnya:
"Jika Engkau siksa mereka maka sesungguhnya mereka itu adalah hamba-hambaMu, dan sekiranya Engkau ampunkan mereka maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa dan Bijaksana"
Sungguh aku bersyukur menjadi umat yang dikasihimu, Ya Rasulullah ...
... Dan Allah SWT juga memilih Madinah sebagai tempat bersemadinya jasad Junjungan Besar Penghulu kita, Nabi Muhammad SAW |
Hari terakhir aku bersamamu di kotamu telah tiba. Berat hatiku melangkah pergi setelah dapat aku rasakan kehadiranmu mengimamkan solatku, mengaminkan doaku, kehadiranmu menenangkan jiwaku, kehadiranmu memberi cahaya ilmu buatku, kehadiran yang mengajar aku bersyukur dengan segala yang dianugerahkan dan kehadiran yang mengajar aku erti kesabaran.
“Selamat Tinggal Ya Rasulullah. Berpisahlah kita Wahai Nabi Allah. Amanlah dikau wahai kekasih Allah. Semoga Allah tidak menjadikan pertemuan kita ini sebagai yang terakhir denganmu untuk menziarahmu ataupun berada disisimu. Kecuali Allah SWT mengurniakan kebajikan sihat dan afiat serta selamat, jika ada umur panjang, Insha Allah aku akan datang menziarahmu lagi. Tapi sekiranya aku mati dulu, maka sekarang aku tinggalkan disampingmu ikrar sumpah setiaku dari hari ini hinggalah ke hari kiamat iaitu pengakuan aku yang bersungguh-sungguh bahawa tiada Tuhan yang lain disembah dengan sebenar-benarnya kecuali Allah Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya dan aku bersaksi dengan sesungguhnya bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya. Maha Suci Tuhanmu, yang mempunyai kemuliaan dari segala yang mereka sifatkan. Salam sejahtera keatas para Rasul. Segala puji untuk Allah, Tuhan yang mentadbir seluruh alam ... Amin”
Akhirnya, iman akan kembali ke Madinah dan keberkatan kota ini akan terus dilipatgandakan...
(Setinggi penghargaan kepada Kiai KH Ahmad Djamhuri atas ilmu dan bimbingan yang dihulurkan sepanjang kami berada di Kota Mekah Al Mukarramah dan Madinah Al Munawwarah)
Comments
Post a Comment